Saturday, March 17, 2012

aNdai ketentUan itu bukAn suAtu ketEntuan..."

Hai. Selamat sejahtera.

Entah mengapa tiba-tiba jari ini bagai terpanggil untuk menaip kembali di netbook tua ini. Walhal entry semalam pun masih belum sempat diteliti oleh sahabat yang mengikuti blog ini. Tapi, biarkanlah saja kerana andai aku lupakan tentang ini, pasti ilham ini akan pergi tak kembali kerana begitulah mindaku sejak azali. Sekali aku biarkan ia pergi, ia takkan pernah akan kembali ke sisi.

Lalu marilah kita go through tajuk kita pada hari ini, yakni “Andai ketentuan itu bukan suatu ketentuan.”

Seringkali kita dengar, seseorang itu berkata, “Argh, kalaulah ini hanya khayalan semata-mata.” Atau “Ini hanya mimpi! Mimpi!” Atau juga, “Apa yang aku dah buat ni? Sepatutnya bukan ini yang berlaku! Aku tak patut buat macam ni. Ini tak sepatutnya terjadi!” Apa yang dapat kita faham daripada emosi mereka yang dilemparkan melalui kata-kata ini? Ya, apa yang dapat kita cerna ialah mereka sangat berharap bahawa apa yang mereka hadapi itu bukan suatu ketentuan. Dan mereka menyesal dengan tindakan yang telah diambil.

Sahabat sekalian, bukanlah aku ingin menghukum seseorang itu dengan ilmuku yang sungguh cetek berbanding orang lain ini, tapi apa yang aku tahu, menyesal dengan cara yang tidak berhikmah adalah suatu dosa. Ya, aku tahu ada hadith “Penyesalan itu adalah suatu taubat.” Aku juga belajar tentang itu tapi yang aku tekankan di sini adalah menyesal dengan cara yang tidak berhikmah.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian. Tahukah kita menyesal dengan cara yang tidak berhikmah itu bagaimana? Iaitu apabila kita menyesal, tetapi sesalan itu tidak membawa kita ke jalan yang benar, tidak menyuluh kita pada siratulmustaqim. Lalu, kita semakin sesat dalam mencari erti hidup.

Kadang-kadang, dugaan yang Allah beri berdasarkan apa yang kita pilih juga boleh merosakkan iman. Contohnya jika kita memandu dengan had laju yang melebihi daripada yang dibenarkan dan secara tak sengaja, terlanggar pembahagi jalan dan ibu kita meninggal,(Nauzubillahi min zalik, minta dijauhkan.) apa yang akan kita lakukan? Menyesal? Meratap? “Kalaulah aku tak bawak kereta laju-laju, mesti mak aku tak meninggal..”

Sahabat-sahabat sekalian. Itu tidak membantu sesiapa pun andai itu yang kita lakukan. Ibu kita takkan hidup kembali. Dan kita mesti ingat, ajal dan maut itu di tangan Tuhan. Kita takkan dapat menahan Izrail daripada mengambil nyawa apabila telah sampai masa yang dijanjikan-Nya.

Sahabat, setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya meski sukar untuk kita temui pada awalnya. Seperti aku, aku juga kadang-kadang sukar untuk menerima takdir, walhal setiap takdir yang Allah takdirkan untuk kita adalah takdir yang terindah sekali buat kita.

Aku sering tertanya, mengapa aku tidak selembut kakak-kakakku yang lain. Rupanya Allah ingin beri aku kekerasan hati supaya aku tak rapuh menahan onak duri kehidupan.

Aku sering tertanya, mengapa aku tidak seperti sahabat-sahabatku yang begitu tekun, begitu mudah untuk menerima ajaran. Rupanya Allah tak ingin penyakit riak menyelubungi benakku.

Aku sering tertanya, mengapa manusia seakan tak pernah menghiraukan perasaanku. Mengapa mereka mengambil mudah apa yang aku cuba sampaikan. Rupanya Allah ingin menegaskan padaku, hanya Dia Yang Maha Mendengar setiap sesuatu.

Aku sering tertanya, mengapa hati aku keras seperti kayu. Rupanya Allah tak ingin aku terjerumus dalam permainan hati dan perasaan yang sengaja iblis dan syaitan tiupkan dalam segenap lakuku.

Aku sering tertanya, mengapa ayahku melayan aku terlalu rapi, sedang aku bukan satu-satunya puteri yang dia miliki. Rupanya Allah ilhamkan dia begitu kerana Dia tahu hatiku tak seteguh adik-beradikku dalam menerima berita pemergian dia pada Tuhannya, lantas dia pagari kesedihanku dengan memori-memori indah yang mampu menghadirkan kuntum-kuntuman senyum.

Aku sering tertanya, mengapa selepas mendapat keputusan UPSR, aku hanya terdorong untuk mengisi satu borang sahaja, yakni borang sekolah agama. Rupanya Allah ingin beri aku ruang untuk isi hatiku dengan ilmu untuk menjadi seorang manusia.

Dan andai ketentuan ini bukan suatu ketentuan, entah apa yang aku akan lakukan sekarang. Entah apa yang aku fikirkan sekarang. Dan mungkin, aku hanya manusia pada nama, bukan pada perilaku, bukan pada pekerti.

2 comments:

  1. thats it.i wrote the same thing.baru perasan its look alike./ bace eh!

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha,dah bace but biasa la. yr ayat sounds better than mine

      Delete